01 February, 2010

B.I.G. (Bina Insan Guru)...Part 2

Posted by Ayu Amir at 1.2.10 0 comments
Pagi ahad yang indah kerana hari ini merupakan hari terakhir Bina Insan Guru di Dewan Rahman Talib (DRT). Sebelum bergerak ke DRT, Miss Froggy, kak Rin dan kak Faizah mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar UPSI. Banyak juga tempat yang kami kunjungi untuk mengabdikan kenangan terindah di hari-hari terakhir di UPSI.


Hari kedua Bina Insan Guru dimulakan dengan senaman pagi iaitu aktiviti Malaysiaku Cergas. Kumpulan 8 dipertanggungjawabkan sebagai instructor yang mengajar kami senaman. Selesai senaman, kami diajar dan melakukan aktiviti poco-poco dengan kumpulan 8 sebagai penunjuk cara. Sangat seronok menari poco-poco versi Sabah....hehehehehe..........



Setelah selesai, kami meneruskan aktiviti Si Buta Ku Sayang. Aktiviti ini memerlukan kami menutup mata menggunakan kain, selendang atau kain pelikat. Perit dan susah juga apabila kehilangan pancaindera selam 1 jam. Miss Froggy, Ilah dan Filah terpisah bersama teman-teman yang lain kerana kami diperdaya oleh fasilitator untuk mengikut pergerakkan mereka. Rupa-rupanya fasilitator menyamar sebagai pengacau dan kami terpedaya kerana kurang mengenali suara ketua kumpulan. Sangat kelakar masa itu. Namun nasib baik kami tidak menjadi sasaran fasilitator untuk dikenakan dengan pelbagai-bagai cara seperti mengutip guli dilantai,  diambil gambar dan diikat dikhemah atau pokok-pokok yang berada di sekitar auditorium.



Setelah selesai aktiviti Si Buta Ku Sayang, kami diarahkan untuk minum pagi. Setelah selesai, aktiviti seterusnya ialah Plan Of Action. Guru pembimbing memberikan kami situasi di mana kami diletakkan sebagai doktor dan hanya boleh menyelamatkan satu nyawa sahaja daripada nyawa-nyawa pesakit yang nazak. Antara pesakit tersebut ialah penarik beca yang mempunyai 10 orang anak, Yang Amat Berhormat (YAB), pemandu bas yang baik hati, guru cemerlang dan doktor yang berjaya menemui formula untuk menjimatkan kos pintasan jantung. Kumpulan kami sepakat untuk memilih guru walaupun Zawawi, Shahril, Kak Rin dan Miss Froggy memilih penarik beca. Alasan kami, penarik beca mempunyai 10 orang anak yang mungkin pada masa depan anak-anaknya berjaya menjadi doktor, guru cemerlang, YAB dan pemandu bas. Jika penarik beca tidak diselamatkan anak-anaknya akan hilang tempat bergantung dan kemungkinan anak-anaknya terpisah di antara satu sama lain untuk diletakkan di Rumah Anak-anak yatim. Kesimpulan aktiviti ini ialah sebagai guru tidak semua anak-anak murid mendapat didikan yang sempurna. Walaupun mereka tidak cemerlang dalam akademik tetapi kemungkinan mereka menjadi manusia yang berguna pada diri, keluarga dan masyarakat.

 

Aktiviti terakhir pada hari kedua ialah Aku Guru Hebat. Kami diminta untuk membaca ikrar yang mengatakan kami adalah seorang guru yang HEBAT yang akan mencurahkan bakti kepada anak-anak bangsa, mendidik anak-anak bangsa tanpa mengenal erti jemu dan menjadi insan yang HEBAT di kalangan masyarakat. Amin... Kami beramai-ramai naik ke atas pentas dan mengikrarkan janji-janji kami pada fasilitator dan guru pembimbing. Akan kami buktikan DPLI UPSI 2010 adalah antara guru-guru HEBAT di Malaysia. Insyaallah.


Kenangan di B.I.G. adalah kenangan yang terindah dalam hidup Miss Froggy...Akan Miss Froggy kenang sampai bila-bila. Miss u so much all my friends....;p




B.I.G. (Bina Insan Guru)...Part 1

Posted by Ayu Amir at 1.2.10 0 comments
30/01/2010 sehingga 31/01/2010 adalah hari di mana aku mengikuti kursus B.I.G iaitu Kursus Bina Insan Guru untuk kumpulan yang terakhir DPLI UPSI.

Kenangan selama 2 hari di Dewan Rahman Talib (DRT) sangat berharga buat diriku. Di sini aku berjumpa dengan ramai kawan-kawan baru daripada kursus pendidikan yang berlainan. Ada yang dari Pendidikan Khas, Pendidikan Moral. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pengajian Am, Ekonomi Rumah Tangga, Sejarah dan lain-lain lagi. 


Kami seramai 200 orang bersama-sama terlibat dalam aktiviti yang telah disusun atur oleh fasilitator. Fasilitator kami terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kaunseling (ISMP). Manakala guru pembimbing terdiri daripada Encik Abd Aziz, Encik Takiyudin dan Encik Zulkifli Mamat.



Pada hari pertama, aktiviti yang dilakukan adalah Malaysiaku Cergas iaitu senaman aerobik. Selama lebih kurang 1 jam aktiviti ini dijalankan. Seterusnya, aktiviti ice-breaking pula dijalankan. Terdapat pelbagai permainan dan aktiviti yang dilakukan dalam aktiviti ice-breaking ini. Antaranya ialah berkumpul mengikut saiz kasut, negeri yang sama, bilangan adik beradik yang sama dan akhir sekali berkumpul sebanyak 10 kumpulan dengan kuantiti bilangan ahli adalah sama antara semua kumpulan. Pembahagian kumpulan adalah ditentukan mengikut nombor yang ditukar-tukar ketika bersalaman memperkenalkan diri masing-masing. Setiap kumpulan juga mempunyai treadmarks mereka tersendiri iaitu lagu-lagu rakyat yang menjadi lagu kumpulan.


Selepas makan tengah hari, kami bersiap sedia melakukan aktiviti Kembarun. Kumpulan kami berjaya merebut peluang untuk menjadi kumpulan pertama yang memulakan aktiviti tersebut. Tugasan pertama kami diminta untuk ke checkpoint di masjid. Apabila tiba di checkpoint, kami diminta untuk menyelesaikan tugasan kotak ajaib iaitu kotak yang mengandungi 1 nombor iaitu 13 dan kami perlu menyelesaikan dengan memasukkan nombor dari 1 hingga 25. Setiap kotak perlu mempunyai jumlah yang sama iaitu 65. 

Setelah selesai, kami mendapat tugasan yang mengandungi Bahasa Cina. Memandangkan ahli kumpulan kami tidak mempunyai pelajar Cina, kami berjalan ke sebelah kedai yang bersebelahan dengan pejabat pos untuk bertanya kepada pakcik kedai burung yang berbngsa Cina. Kami berjaya mendapat klu untuk ke stesen bas lama Tanjung Malim. Di situ kami diarahkan untuk mengupas jagung dan bawang kecik. Betapa pedihnya mata ahli-ahli kumpulan dalam menyelesaikan tugasan yang diberi. Setelashselesai, kami dijamu dengan air teh yang payau kerana tidak mengandungi gula. Kami dikehendaki untuk menghabiskan kesemuanya sebelum mendapat tugasan seterusnya.


Kami mendapat tugas menyelesaikan nombor yang diberi. Jawapan kepada nombor adalah checkpoint yang seterusnya perlu kami tujui. Pada mulanya kami mengira mengikut hukum matematik. tetapi hampa apabila jawapan yang dikira adalah salah. Rupa-rupanya, kami perlu mengira secara terus tanpa menggunakan hukum matematik. Jawapan kepada tugas tersebut membawa kami ke balai bomba.



Sampai di balai bomba, kami diarahkan untuk melapor diri dan mendapat tugasan untuk membersihkan pasu bunga dan menyapu sampah. Alhamdulilah, berkat kerjasama di kalangan ahli kumpulan kami berjaya melaksanakan tugasan dengan baik. Setelah mendapat tugasan, kami diarahkan untuk balik semula ke pekan Tanjung Malim menuju ke pondok polis di stesen bas Tanjung Malim. Penat dan tercungap-cungap juga kami kerana terpaksa naik turun jejantas sebanyak 4 kali. Boleh putus nafas gayanya!!.............


Apabila tiba di pondok polis, kami diarahkan untuk mengasingkan kacang hijau, kacang merah dan kacang dal serta mengira jumlah ketiga-tiga kacang berkenaan. Selepas habis melaksanakan tugasan, fasilitator meminta kami untuk menyanyikan lagu sebelum mendapat tugasan yang terakhir. Kami diarahkan untuk menyanyikan lagu rakyat yang menjadi lambang kumpulan. Kami bersepakat secara berkumpulan untuk menyanyi dengan suara yang kuat dan lantang di pondok polis berkenaan. Suara kami menarik perhatian semua penunggu bus di stesen dan orang-orang disekeliling. Kami tidak berasa malu malah berbangga kerana dapat menyelesaikan tugasan dengan baik dan sempurna.... Amin...

 

Kami ingat selesai sudah tugasan apabila tiba di DRT. Tetapi rupa-rupanya kami perlu menyelesaikan tugasan jigsaw puzzle dengan mencantumkan huruf T. Pening juga hendak mencatumkannya. Berkat dari bantuan kumpulan 8 kami berjaya menyiapkan tugasan dan menjadi kumpulan keempat dalam aktiviti pada petang tersebut. Alhamdulilah...Rumusannya, aktiviti yang kami jalankan pada hari pertama B.I.G. sangat menguji kekuatan fizikal dan mental dan semangat berpasukan yang tinggi untuk berjaya menyelesaikan kesemua tugasan dengan baik dan sempurna. Kejang juga kaki apabila aktiviti ini tamat pada jam 5.30 petang.

 

MISS FROGGY Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez